Tuesday, May 3, 2011

Mati itu Pasti

“DAN SETIAP UMAT MEMPUNYAI AJAL (BATAS WAKTU). APABILA AJALNYA TIBA, MEREKA TIDAK DAPAT MEMINTA PENUNDAAN ATAU PERCEPATAN SESAAT PUN”
(Al-A’raf: 34)



   Mati itu kepastian. Maut itu telah tersurat. Ajal itu akan menjelma dalam sebuah kehidupan. Nyawa itu hak mutlak Allah. Takut bila tiba saat yang telah ditetapkan itu, masih belum bersedia. Nauzubillahiminzaalik. Tapi sampai bila kita akan bersedia? Tahukah kita bagaimana keadaan kita semasa mati nanti? Tahukah kita saat roh dipisahkan dari badan itu adakah aqidah dan tauhid kita telah mantap? Detik yang menghampiri lansung tiada petanda yang diberi. Allah mengetahui setiap nyawa yang dicabut dan diberikan kepada makhluk. Dia yang mengatur dan menentukan segala-galanya.

Firman Allah:
“Dan setiap yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.” (Ali-Imran: 145)

Allah memberi peringatan kepada semua makhluk bahawa hidup di atas muka bumi ini tidak akan selamanya dan bukan untuk keseronokan yang sementara. Dunia hanya permainan dan senda gurau. Entah esok, entah lusa, mungkin sebentar sahaja lagi malaikat maut muncul di sisi untuk mengambil nyawa. Siapa yang tahu?
      
 Tapi manusia hari ini ingkar. Lupa, dan menafikan kematian itu satu kepastian. Sebab-sebab kematian itu hanyalah semata-mata musabab yang Allah berikan.Sebab adalah sebagai cara Allah mencabut nyawa hambaNya. Mati kerana sakit, mati kerana kemalangan. mati kerana terkejut, itu hanya sebab. Hakikatnya nyawa tetep diambil walau dengan apa cara sekalipun. Paling ditakuti, saat mata terlelap untuk tidur dan beristirehat, saat itu jugalah Allah menjemput roh pulang ke pangkuannya. Tidur yang disangka hanya sementara rupanya selamanya. Jika iman di dada sudah kukuh, Ya Allah, Alhamdulillah, Allah sayangkan kita, tapi jika Allah pun masih belum dikenali, apa guna kita berjumpa denganNya.

Firman Allah:
“ Allah memegang nyawa (seseorang) pada saat kematiannya dan nyawa (seseorang) yang belum mati ketika dia tidur, maka Dia tahan nyawa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia lepaskan nyawa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sungguh, pada yang demikian terdapat tanda-tanda (kebesaran) bagi kaum yang berfikir”
[Az-Zumar :42]

Dan ketika mana ajal menjemput, segala yang disayangi akan kita tinggalkan dan yang hanya menurut ke dalam liang lahad hanyalah amal…Apa guna jawatan yang tinggi, apa guna lagi darjat dan harta, apa guna lagi rupa paras yang hak milikNya. Semua yang dibangga tak dapat membantu di akhirat.

 Allah…… Engkau cabutlah nyawaku di saat iman aku padaMu membuak-buak. Ya Allah, Sesungguhnya hari kematianku telah tercatat dalam lembaran cerita kehidupanku yang hanya menjadi milikMu. Ya Allah, aku  malu bertemuMu dalam keadaan diri dan hati yang penuh dengan kekotoran ini. Jemputlah aku tatkala aku bersedia bertemuMu. Ya Allah, jika mati itu baik bagiku, maka itulah yang terbaik untukku. Jika hidup itu pada ketika ini baik untukku, biarlah aku terus merasai nikmat dunia yang Engkau sediakan untuk hambaMu. Curahkanlah kasih sayangMu kepada insan-insan yang aku sayang dan kasih di sekelilingku kerana mereka tidak tahu betapa kasihku pada mereka tidak dapat dizahirkan dengan bait kata-kata.

sayang kalian kerana Allah