Monday, March 21, 2011

kuasa cinta

..KUASA CINTA..

Cinta.. Hadir dalam hati dan jiwa tanpa perlu dipaksa. Perasaan cinta dan sayang adalah anugerah terhebat dari Pencipta Cinta. Rasa cinta tak dapat ditunjukkan dalam bentuk objek tapi dapat dilihat dan dizahirkan dan boleh juga dibuktikan.
Buktinya, rasa cinta kepada Allah oleh seorang hamba dapat membuahkan hasil ibadah yang terbaik, mantap, dan ikhlas. Rasa cinta kepada Rasulullah dapat diluahkan dengan melakukan sunnah dan ajaran baginda mengukuhkan rasa taat dan patuh pada kekasih Allah ini. Hebatnya cinta dapat membuatkan seorang anak tunduk patuh dan taat kepada ibu bapa dan rasa cinta juga membuatkan seorang ibu dan ayah sanggup mengorbankan apa yang ada pada diri mereka hanya untuk kesenangan anak-anak. Cinta pada adik-beradik melahirkan baitul muslim yang sakinah wa mawaddah. Rasa cinta pada sahabat menbungakan ukhuwah lillah yang menyuburkan perasaan berlapang dada dengan sahabat-sahabat. Cinta pada binatang dan alam sekitar membawa kepada rasa cinta kepada pencipta. Hebat kan cinta?
Cinta boleh membuat yang buta dapat melihat, yang pekak dapat mendengar, yang sedih jadi gembira, yang sunyi rasa bahagia. Indahnya cinta anugerahNya.

Firman Allah S.W.T maksudnya
“Katakanlah (Muhammad), ‘jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.’Allah Maha Pengampun Maha Penyayang”
(Ali-Imran : 31)

Jelas , setiap cinta mestilah disandarkan kepada Pencipta Cinta supaya kita juga beroleh cintaNya.Hakikatnya  cinta itu suci dan menyucikan. Tapi dek kerana sikap manusia, cinta juga boleh jadi kotor dan mengotorkan. Semuanya bergantung kepada si pelayar cinta. Layarkan bahtera cinta hanya menuju cintaNya bukan kerana manusia semata-mata.

          Sabda Rasulullah S.A.W
“…Cinta kasihlah kepada manusia sebagaimana engkau sayang dan kasih kepada dirimu sendiri, nescaya engkau menjadi orang Islam yang hakiki”



TAHAP CINTA  DALAM  ISLAM
1-    
Pertama dan yang paling tinggi sekali:
Cinta yang menjadi hak ALLAH semata-mata. Itulah cinta hamba kepada Khaliqnya.

2-    Tahap kedua selepas cinta kepada Allah ialah cinta kepada kekasih Allah; RASULULLAH S.A.W. Cinta yang melahirkan rasa hormat, patuh, ingin mempertahankannya, ingin jadi pengikutnya dan melaksanakan segala sunnahnya
3-    Tahap ketiga ialah cinta antara MUKMIN dengan MUKMIN yang lain. Antara ibu bapa dan anak, suami dan isteri, adik beradik, yang membuahkan rasa mawaddah wa rahmah.
4-    Tahap keempat, cinta SESAMA MUSLIM yang melahirkan ukhuwah Islamiyyah.
5-    Cinta SESAMA MANUSIA
6-    Cinta kepada SELAIN DARIPADA MANUSIA iaitu binatang, alam sekitar, harta benda dll.
    


Duhai insan, letakkanlah kedudukan cinta pada tempat yang sepatutnya, Jangan melangkaui tahap tersebut kerana kesannya akan terlihat dengan jelas oleh manusia sekelilingmu. Perasaan cinta itu bukan satu dosa jika kita berlaku adil pada cinta dengan meletakkan ia pada tempatnya. Ingatlah SANDARKANLAH CINTA PADA PENCIPTA, insyaAllah cintaMu dapat memberi ketenangan pada dirimu.
Jika cinta dapat berkawan dengan iman, cinta itu suci tapi jika cinta bergaul dengan nafsu, cinta boleh jadi terlalu kotor dan busuk sehingga cinta itu tidak dilihat indah lagi di pandangan mata.

“BERLAKU ADIL LAH PADA CINTA”

Sunday, March 13, 2011

AYAT MENGGEGAR JIWA

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ‌ۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ
 ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ‌ۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِى وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِى لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ
سُوۡرَةُ البَقَرَة١٨٦
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku dekat ; Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran. (186)

Subhanallah Alhamdulillah Laailaahailallah..
Untuk perkongsian pembaca, ayat ini sangat bermakna dalam diri insan kerdil yang hina ini. Ayat ini yang memberi roh baru kepadaku yang melonjakkan paradigma dalam diriku. Ayat inilah suatu ketika dahulu menggegarkan seluruh urat dan sarafku. Nadi dan jantung ini bagaikan terhenti. Tidak dapat digambarkan ketika bait-bait makna ayat ini keluar dari bibirku. Derasnya dan lajunya air mata yang mengalir ketika mentadabbur sewaktu dinihari tak pernah ku alami sebelum ini. Hati ini seolah-olah di tempat lain. Terasa kehadiran Dia di sisi.. Rasa takut yang teramat mencengkam di jiwa seolah-olah selama ini aku tidak tahu tentang kekuasaanNya sedangkan aku sebelum ini sudah cukup berusaha mengenalinya. Kaki dan tangan seolah dikunci.. Lemah badan menyebabkan aku bersandar di dinding bilik yang kelam. Kalam Allah dipeluk erat. Mata dipejam rapat.. Mengapa ini yang aku rasa YA ALLAH..? Apa pentanda kepada perasaan hebat ini? Bila mana ayat ini dibaca bersama tafsir, aku seolah-olah terkunci di tepat dudukku. Air mata yang deras mengalir dapat aku rasakan bukan dari kolam air mata tapi dari lubuk hati yang sangat dalam dan yang tersembunyi. Sungguh halus, sugguh menusuk.. Percayalah, tak dapat dicatat dan dizahirkan di sini ayat yang sebetulnya menerangkan perasaan ini ketika itu. Mungkin ada yang melihat ayat ini sebagai kalam Allah seperti yang lainnya namun aku melihat dan memasak ayat ini jauh ke dalam lubang sanubari kerana bagiku perasaan yang pernah hadir itu satu hadiah dari Allah yang takkan dapat dirasakan selalu oleh semua..YA ALLAH aku bertuah kerana sekali sepanjang usiaku Engkau hadirkan perasaan yang sukar untuk digambarkan itu. Engkau Maha Hebat, Engkaulah tempat meluahkan segala pujian.. ALLAH...................ALLAHURABBI...........