Saturday, April 16, 2011

Seka Airmatamu Pejuang


Pejuang...
Hidupmu dengan cabaran memang kembar yang takkan mampu dipisahkan. Kamu dengan dugaan adalah satu yang takkan mampu dipecahkan.
Maka jangan kamu menangis hiba. Jangan kamu tunduk mencuka.
Memang manusia-manusia tidak akan memahami kamu. Bahkan mereka kan sentiasa membebankanmu.
Maka jangan kamu meminta kepada mereka.
Aku disisimu, hendak menceritakan sesuatu.
Syyyhh… jangan menangis.
Seka air matamu wahai pejuang.


Lumrah pejuang
Apakah kau tahu lumrah pejuang?
Tidak dapat tidak, dua perkara daripadanya tidak akan terpisah.
Cabaran dan pengorbanan.
Kau diminta untuk memahami, tanpa kau perlu difahami. Kau diminta memberi, tanpa kau perlu memberi. Kau menongkah cabaran itu dan ini, tetapi kau tetap perlu mengorbankan itu dan ini. Kau ke mana sahaja wahai pejuang, pergilah ke mana sekalipun, selagi kau berjuang dan menjadi pejuang, kau memang akan menghadapi cabaran, dan kau perlu berkorban.
Kau akan kepenatan, kau akan keletihan, kau akan rasa kelaparan dan kedahagaan. Lorong-lorong cabaran, dan pengorbanan-pengorbanan yang kau lakukan, menghasilkan satu tekanan yang besar walaupun di wajahmu terpampang senyuman.

“…mereka ditimpa dengan kemelaratan, penderitaan dan digoncang(dengan pelbagai cubaan)…” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Orang lain tak akan memahami. Dan tiada antara mereka yang mahu memahami.
Lumrah kau di atas jalan perjuangan ini.
Sampai satu tahap kau rasa sendiri. Timbul rasa benci. Tambah rasa sakit hati.
Betapa kau lihat manusia-manusia lain begitu jelek dengan perangai mereka.
Sungguh, mereka meminta kau memahami, tetapi kau langsung tidak difahami mereka.
Kau sedih? Kau rasa sudah mencium limitasi?
Ya, aku memahami. Inilah dia lumrah kau wahai pejuang.
Tetapi jangan fikir engkau terbuang.
Syyyh… jangan menangis. Seka air matamu.
Dia ada untukmu.

Dia
Manusia lain terbatas dalam mengenalimu. Mereka hanya satu beberapa juzu’ kehidupanmu dan berkata ini dan itu. Kau lakukanlah apa sahaja, mereka tetap tidak akan memahamimu. Ya, aku mengerti itu.
Tetapi Dia ini istimewa. Dia tahu segala. Dia faham kau serbi serba. Tahukah kau betapa Dia melimpahkan untuk kau cinta? Dia sentiasa rapat bersama, tidak pernah meminggir walau seketika.
Syyyhhh… jangan menangis. Seka air matamu.
Benar Dia tidak akan berbicara denganmu secara terus. Tetapi pernahkah kau melihat kalamNya yang mampu kau pegang dan baca itu?

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu(Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku amat dekat…” Surah Al-Baqarah ayat 186.

Dan ketahuilah dikau bahawa utusanNya itu pernah bersabda:
“…sekiranya mereka itu berkumpul untuk memberikan mudarat kepadamu, maka mereka itu tidak akan mampu memudaratkan kamu walau dengan apa pun kecuali dengan apa yang telah ditetapkanNya ke atas kamu” Hadith riwayat Tirmidzi, hadith ke 19 di dalam hadith 40 An-Nawawi.

Seka air matamu.
Dia ada di sisimu. Sangat dekat. Menjagamu. Memahamimu.
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya. Sedang Kami lebih dekat kepadanya daripada urat nadinya” Surah Qaaf ayat 16.

Aaah… Jangan menangis. Seka air matamu pejuang.
Dia menjagamu. Menjagamu.




Merapatlah
Pejuang, seka air matamu itu.
Dia tidak sekadar bersamamu, bahkan memberikan segala pertolongan yang kau mahu. Pejuang, jangan kau meminta kepada selainNya. Pintalah kepada Dia dan Dia sahaja.
Jangan kau minta manusia memahamimu. Jangan kau minta manusia menghargaimu.
Mereka tidak akan memberikannya sehingga puas hatimu. Kerana mereka dengan hidup mereka, dan mereka bukannya kamu. Mereka juga menagih pemerhatian orang lain dan mengharapkan yang lain menuruti kepuasan mereka. Yang tidak mempunyai apa-apa, memang tak akan mampu memberikan kau apa-apa.
Tetapi Dia punya segalanya.
Dia menawarkanmu sesuatu yang takkan dapat ditawarkan sesiapa.

“Dengan itu Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik di dalam Syurga ‘Adn. Itulah dia kemenangan yang besar.” Surah As-Saff ayat 12.

Maka bersabarlah. Seka air matamu. Pastinya kau akan berjaya.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” Surah Al-Baqarah ayat 155-157.

Dan Dia bukan penipu.
“Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah memungkiri janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” Surah Ar-Ruum ayat 5-6.

Maka seka air matamu pejuang. Hentikan hinggutan bahumu.
Merapatlah kepadaNya. Sungguh Dia akan membantumu.

“Dan berkatalah Rabb kamu: Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku makbulkan” Surah Ghaafir ayat 60.

“Sekiranya kamu membantu urusan Allah, maka Allah akan membantu kamu(dalam urusan kamu) dan menguatkan pula kaki-kakimu” Surah Muhammad ayat 7.

“Jagalah Allah, maka Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, maka kau akan melihat Dia berada di hadapanmu(menjagamu), sekiranya kau hendak meminta sesuatu, mintalah kepada Allah, dan sekiranya kau hendak meminta bantuan, mintalah bantuan Allah…” Hadith riwayat Tirmidzi, Hadith 19 dari Hadith 40 riwayat An-Nawawi.

Seka air matamu. Gerakkan dirimu.
Sungguh, yang paling memahamimu adalah Dia.
Selainnya tiada.

Penutup: Seka air matamu pejuang
Sudahlah. Hentikan tangismu.
Bersihkan kembali niatmu. Bergerak ke arahNya. Bukan bergerak ke arah selainNya. Dia yang hendak menilai, dan memberikanmu segala. Dia yang bersamamu dan memahamimu setiap ketika.
Jangan menangis ya?
Manusia bukannya memahamimu. Letih sahaja kau merajuk.
Jangan risau. Pengorbananmu berbalas. Rajukmu didengar.
Tidakkah kau merasa, Dia sedang memujukmu kala kau lara?
Tersenyumlah. Bangun.
Teruskan perjuangan.
Selesaikan tanggungjawabmu kepada sekalian insan.
Manakala mereka kepadamu, serahkan kepadaNya untuk diuruskan.

_disalin terus dari HILAL ASYRAF. COM_
 ..sangat memberi kekuatan untuk pejuang yang lelah..


Tuesday, April 5, 2011

Pahit Yang Menjanjikan Manis

dakwah_study_hati..


Pahit itu sangat perit dan kepahitan itu sangat memeritkan. Untuk menelan kepahitan bagai melalui satu fasa yang sangat menderitakan. Bukan semua rela untuk menelan kepahitan. Ramai yang lebih senang untuk menjauhi kepahitan kerana masing-masing tidak suka akan kesusahan. Bagai seorang kanak-kanak yang diberi ubat yang pahit, menolak ubat tersebut habis-habisan, merayu supaya jangan diberikan. Namun, namanya juga ubat, si ibu yang penuh kasih sayang terpaksa juga menyumbat untuk melihat anaknya sembuh. Bukan bererti si ibu kejam tapi bukti kasih sayang yang sangat hebat kepada anaknya. Begitulah juga kasih Allah, diberi dan ditimpakan kepahitan berbentuk ujian, sengsara, kesedihan, resah gelisah sebagai makanan tambahan dan ubat untuk hamba-hambaNya. Dia datangkan berbagai bentuk ujian agar jiwa dan hati hambaNya tak lalai dengan kesenangan dan leka dengan lena yang berpanjangan.

Firman Allah S.W.T
“Dan kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang-orang yang betaqwa. Tidakkah kamu mengerti?”
(Al-An`am)

   Sesungguhnya dunia adalah ladang akhirat. Manusia berhak memilih untuk untuk merasai kemanisan dahulu sebelum pahit atau memilih pahit sebelum manis. Allah hanya memberi dua pilihan kepada hambaNya.
Bagi seorang dai’e, andai mengharapkan manis dalam perjuangan di bumi yang sementara ini, kita salah. Ya, terkadang naluri manusia biasa muncul, inginkan keseronokan, ingatkan kehidupan yang bahagia tanpa sebarang kesusahan, namun kefahaman dan rasa tanggungjawab kepada Islam mengatasi segala-galanya.
Harapan untuk menjadi seorang pelajar yang ingin berjaya, seorang pembawa Islam yang berjiwa kental, seorang sahabat yang baik, seorang anak yang taat, seorang pemimpin yang menjalankan tanggungjawab dengan sempurna pada satu masa yang sama sangat sukar. Terkadang perasaan bersalah pada ibu bapa menyelubungi diri kerana telah mengabaikan amanah besar yang diberikan oleh mereka. Lebih mementingkan urusan lain berbanding misi utama untuk mengubah nasib keluarga. Bukan mudah… Bukan mudah… Bukan mudah… Perjuangan menjanjikan pengorbanan, kepahitan, kejatuhan.




Adakala rasa lemah melanda riri tatkala diri sudah tidak mampu memikul semua beban di bahu sendiri.Namun itu adalah pilihanku. Aku memilih Islam sebagai cara hidupku. Aku memilih untk menjadi pembawa Islam. Belajarku adalah kerana Allah dan untuk Islam. Khidmatku adalah untuk agama dan ibu bapaku. Pahit perjuangan yang perlu ditelan terasa amat susah. Tangan sentiasa ditadah, memohon dengan sepenuh hati pada Allah agar diberi kekuatan, untuk menjadi anak yang taat dan hamba yang tabah memperjuangkan agama. Takut mengabaikan salah satu daripadanya. Jika berlaku, maka sesungguhnya AKU GAGAL..
Aku yakin, ada sesuatu untukku yang tidak aku ketahui yang akan diberikan oleh Allah. Moga ikhlas hadir dalam setiap pergerakan tubuhku untuk Islam.

“Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenarnya adalah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan mereka berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar”
(Al-Hujuraat : 15)

Ya Allah, perjalanan yang dilalui ini sangat sukar. Aku hamba yang lemah, yang punya banyak kekurangan, yang tak mampu menjadi sempurna, yang banyak melakukan kemungkaran, yang lalai, yang terkadang lupa akan janjiMu kepada sesiapa yang menolong agamaMu. Bukan ku tak yakin padaMu Ya Allah, namun terkadang menyesal tak dapat menjalankan dua amanah besar yang diberikan kepadaKu. Bantulah Ya Allah.. Berilah petunjuk agar aku tak hanyut dengan kehidupan yang hanya sementara. Pasakkan kekuatan dalam diriku agar aku menjadi hamba dan anak yang taat.  


“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa………”
(Al-Isra’:23)

"Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah “Wahai Tuhanku ! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik akupada waktu kecil”
(Al-Isra’:24)

“Dan kami WAJIBKAN kepada manusia agar (berbuat) kebaikan kepada orang tuanya……”
(Al-`Ankabut: 8)

MOGA KEPAHITAN INI DIBERIKAN KEMANISAN DI AKHIRAT SANA